Friday, July 31, 2009

Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah



Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah...

* supaya kita dapat menjadi penilai yang baik..
* supaya kita sedar, Bahawa kita hanyalah makhluk yang sentiasa mengharapkan pertolongan Allah..
* supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK, KHAS UNTUK DIRI KITA..
* supaya kita sedar, Bahawa ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN PENYAYANG, kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yang hebat untuk kita dan kehidupan kita dimasa hadapan…
* supaya kita dapat mengutip pengalaman yang tidak semua orang berpeluang untuk mengalamninya. .
* supaya kita menjadi MANUSIA yang HEBAT JIWANYA..
* supaya kita lebih faham bahawa CINTA yang TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH..
* supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YANG TIDAK SELAMANYA KEKAL..

Wahai sahabat yang kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, FAHAMILAH bahawa kehidupan kita semakin sampai ke penghujungnya. Hari esok kita pun kita sendiri tidak pasti sama ada menjadi milik kita.

Gapailah keredhaan Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya…

PERCAYALAH sesungguhnya Allah malu untuk menolak permintaan hamba-Nya yang menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA..

*petikan dari Kembara Wasilah Edisi 1/2009 January

~setiap yg telah terjadi pasti tersembunyi seribu hikmah disebaliknya...smoga kita sentiasa menjadi hambaNya yg sentiasa bersyukur dan redha dgn ketentuanNya..just let bygones be bygones..Allah lebih mengetahui yg terbaik untuk hamba2Nya~

Wednesday, July 22, 2009

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj




PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba.

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba- Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: "Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu' kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya..

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: "Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: "Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan . (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.


Friday, July 10, 2009

Carilah jodoh beragama, sabda Rasulullah s.a.w


Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."

Hadith ini telah diriwayatkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab sahih mereka serta imam hadis yang lain.

Ada empat nilai dan ciri wanita yang dipilih untuk dijadikan pasangan jodoh bagi lelaki. Meninjau hadis ini, terpantul beberapa pertanyaan di fikiran kita. Antaranya, apakah kaum wanita tidak berhak membuat pilihan yang sama? Sedangkan al-Quran meletakkan kedudukan lelaki dan wanita itu sama. Dan, beza fizikal serta mental antara mereka itulah yang menyebabkan wujudnya beberapa perbezaan, cara syariat antara mereka. Timbul persoalan.. apakah wanita tidak memiliki hak yang sama untuk memilih pasangan mereka berdasarkan keempat-empat ciri itu? Contohnya, mereka sendiri berhak memilih lelaki yang berharta, berketurunan baik, kacak dan taat beragama. Maka, jawapannya.. wanita sendiri juga berhak menentukan pilihan jodoh masing-masing kerana daripada segi hak, mereka mempunyai jiwa, perasaan dan citarasa yang sama juga seperti kaum lelaki.

Berharta

Syor supaya menikahi wanita berharta ini, jika tidak ditafsirkan dengan betul-betul akan menyebabkan orang menganggap bahawa lelaki yang tidak berharta (miskin) digalakkan menikahi wanita hartawan. Ini menyebabkan lelaki disifatkan sebagai pengikis harta! Demikian juga, jika dikatakan, bahawa wanita itu digalakkan untuk menikahi lelaki yang berharta, kelak wanita itu digelar sebagai perempuan yang mengejar kebendaan pula. Sementara itu, bukankah janda-janda, balu-balu miskin yang tak terbela digalakkan untuk dinikahi untuk membela nasib mereka? Maka, di sini sudah ada percanggahan sikap dan nilai yang dianjurkan oleh Islam itu. Jadi, apakah tafsiran yang mungkin sesuai ke atas syor Rasulullah ketika menggalakkan lelaki memiliki wanita yang berharta itu? Atau, apakah tafsiran yang sesuai berhubung galakan dan anjuran supaya wanita memilih kaum Adam yang berharta itu? Mungkin, tafsiran yang sesuai adalah baik lelaki dan wanita itu perlu mencari pasangan yang tahu mengendalikan harta, membina harta kekayaan dan bukan hanya semata-mata berharta sebelum menjalani kehidupan berumahtangga.

Keturunannya

Adapun keturunan ini pula bukanlah diperhitungkan daripada segi kasta, kebangsawanan, kedudukannya dalam masyarakat. Ia tentulah diperhitungkan daripada segi nasab turunan seseorang yang tidak bercampur dengan penzinaan. Apa ertinya.. memilih seorang lelaki dan wanita daripada keturunan yang bangsawan tapi mengalir di dalam tubuhnya darah seorang penzina. Timbul pertanyaan lagi. Adakah jika wanita atau lelaki penzina itu telah bertaubat, maka mereka boleh dinikahi? Maka, dalam hal ini, sekiranya benar-benar terdapat kesan-kesan taubat itu. Dan nikah itu dapat mengelakkan lelaki dan wanita penzina tadi daripada terus berzina maka boleh juga dipertimbangkan untuk menikahi mereka.

Kecantikannya

Kecantikan wanita atau kekacakan seorang pemuda bersifat subjektif. Seseorang melihat wanita yang kurang cantik, mungkin cantik dalam pandangan lelaki lain. Demikian juga seorang lelaki yang kurang kacak dalam pandangan seseorang wanita, mungkin kelihatan kacak dalam pandangan wanita lain. Maka, memilih yang cantik itu sememangnya naluri semulajadi manusia. Islam itu adalah agama fitrah. Manusia itu, sama ada lelaki atau perempuan, memang sukakan kecantikan. Dan, hal ini tidaklah menyalahi kemanusiaan. Ada orang melihat kecantikan akhlak, tutur bicara dan sikap akhlak seseorang. Semua ini adalah daya penarik yang akan mengeratkan hubungan kedua-dua pasangan itu.

Agama

Akhirnya nilai agama itulah yang paling penting sekali dan terutama dalam pemilih calon pasangan itu. Tanpa agama, keluarga yang dibina akan hilang pedoman. Agama pula bukan dilihat semata-mata pada ketinggian ilmu pengajian agama di institusi pengajian tinggi agama. Seseorang yang beragama itu memadailah dilihat daripada sikap mereka yang cuba mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam kancah jenayah. Mereka yang terjebak dalam disa-dosa kecil tidaklah boleh dianggap sebagai orang yang tidak beragama. Ini kerana, tiada manusia yang terbebas daripada silap dan salah. Memadailah kita sebutkan di sini bahawa orang yang beragama itu adalah mereka yang berdosa dan sentiasa memperbaharui taubatnya


Tuesday, July 7, 2009

Jangan Mencari Yang Terlalu SEMPURNA...





Jika kamu memancing ikan……
Setelah ikan itu terlekat di mata kail……
Hendaklah kamu mengambil ikan itu……
Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula kedalam air begitu sahaja…….
Kerana ia akan SAKIT oleh kerana bisanya……
Ketajaman mata kail kamu & mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup……

Begitulah juga……

Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang ……
Setelah ia mulai MENYAYANGI kamu……
Hendaklah kamu MENJAGA hatinya……
Janganlah sesekali kamu terus MENINGGALKANNYA begitu saja……
Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu……
dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia masih mengingati kamu……

Jika kamu MENADAH air biarlah berpada……
Jangan terlalu berharap pada takungannya dan menganggap ia begitu teguh……
Cukuplah sekadar untuk KEPERLUANMU sahaja……
Kerana apabila ia mulai RETAK ….tidak sukar untuk kamu menampal dan memperbaikinya semula……
Dan bukannya terus dibuang begitu sahaja……

Begitulah juga……

Jika kamu sedang memiliki seseorang…. TERIMALAH dia seadanya……
Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan mengganggapkan dia begitu istimewa……
Anggaplah dia manusia biasa……
Kerana apabila dia melakukan KESILAPAN …. tidaklah sukar untuk kamu MEMAAFKANNYA dan MEMBOLEHKAN hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhir hayat
Dan bukannya MENGHUKUMNYA dan MENINGGALKAN dia begitu sahaja kerana kamu merasa terlalu kecewa dengan sikapnya
Lalu semuanya akan menjadi TERHENTI begitu sahaja……


Jika kamu MEMILIKI sepinggan nasi……
Yang kamu pasti baik untuk diri kamu……
Yang MENGENYANGKAN dan BERKHASIAT ……
Mengapa kamu berlengah lagi? Cuba mencari makanan yang lain……
Kerana terlalu ingin mengejar KELAZATAN ……
Kelak, nasi itu akan BASI sendiri dan kamu sudah tidak boleh menikmatinya lagi……
Kamu akan MENYESAL ……

Begitulah juga……

Jika kamu telah bertemu dengan seorang INSAN ……
Yang kamu pasti boleh membawa KEBAIKAN kepada dirimu……
MENYAYANGIMU …. MENGASIHIMU ….dan MENCINTAIMU ….
Mengapa kamu berlengah lagi?
Cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain……
Terlalu mengejar KESEMPURNAAN ……
Kelak, dia akan BERJAUH HATI dan kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain……
Kamu juga yg akan MENYESAL dan tidak ada gunanya lagi……

Oleh itu janganlah kita terlalu mengejar KESEMPURNAAN kerana ia bukanlah faktor utama KEBAHAGIAAN yang sempurna, sedangkan jika kita boleh memaafkan KESILAPAN orang yang kita sayang dan akur dengan KELEMAHANNYA sebagai manusia biasa serta BERSYUKUR dengan apa yang kita sudah MILIKI …kita akan BAHAGIA, BAHAGIA dan terus BAHAGIA …itu lebih BERMAKNA !

“Begitu hidup ini tiada yang abadi yg patah akan tumbuh yang hilang akan berganti, namun yang berganti tidak mungkin sama seperti yang hilang”


Monday, July 6, 2009

Indahnya Solat Subuh...



Ganjaran Pahala Solat Subuh Mengatasi Keindahan Dunia

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim)Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari.

Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau 'Subuh gajah', iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: "Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya) ." (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: "Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya."Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh?

Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?Diriwayatk an Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.Diriwayat kan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, "Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.


Sunday, July 5, 2009

Teman Sejati...



Teman Sejati
by Brothers


Selama ini
Ku mencari-cari
Teman yang sejati
Buat menemani
Perjuangan suci

Bersyukur kini
PadaMu Illahi
Teman yang dicari
Selama ini
Telah kutemui

Dengannya di sisi
Perjuangan ini
Senang diharungi
Bertambah murni
Kasih Illahi
KepadaMu Allah
Ku panjatkan doa
Agar berkekalan
Kasih sayang kita

Kepadamu teman
Ku pohon sokongan
Pengorbanan dan pengertian
Telah ku ungkapkan
Segala-galanya...

KepadaMu Allah
Ku pohon restu
Agar kita kekal bersatu
Kepadamu teman
Teruskan perjuangan
Pengorbanan dan kesetiaan
Telah ku ungkapkan
Segala-galanya
Itulah tandanya
Kejujuran kita


to my dear...
thanks for everything..i am very grateful that i have u in my life..thanks for being very nice...you're the very best i've ever had...
i hope that our life always be fulfilled with nuur Ilahi..insyaAllah
may Allah always bless us...ameen...(^_^)