Wednesday, September 16, 2009

Amalan 10 Malam Terakhir Ramadhan


DIkirim oleh epondok di September 14, 2009

Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:

1. Melakukan qiamullail;

2. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;

3. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);

4. Mandi antara Maghrib dan Isyak;

5. Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: “Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan.”

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: “Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu”.

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi’iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu.”

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi’iy menyatakan: “Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu.” Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya.”

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: “Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku.”

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy ‘alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar.”

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim.”


Tuesday, September 15, 2009

Doa untuk Pengantin ^_^



Ya Allah,
Andai Kau berkenan, limpahkanlah rasa cinta kepada kami,
Yang Kau jadikan pengikat rindu Rasulullah dan Khadijah Al Qubro
Yang Kau jadikan mata air kasih sayang
Ali bin Abi Thalib dan Fatimah Az Zahra
Yang Kau jadikan penghias keluarga Nabi-Mu yang suci.

Ya Allah,
Andai semua itu tak layak bagi kami,
Maka cukupkanlah permohonan kami dengan redlo-Mu
Jadikanlah kami Suami & Istri yang saling mencintai di kala dekat,
Saling menjaga kehormatan dikala jauh,
Saling menghibur dikala duka,
Saling mengingatkan dikala bahagia,
Saling mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan,
Serta saling menyempurnakan dalam peribadatan.

Ya Allah,
Sempurnakanlah kebahagiaan kami
Dengan menjadikan perkawinan kami ini sebagai ibadah kepada-Mu
Dan bukti ketaatan kami kepada sunnah Rasul-Mu.

Ya Allah…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahwa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan cinta hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru [di jalan]-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu maka kuatkanlah ikatan pertaliannya.

Ya Allah…
Abadikan kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Dan semoga shalawat serta salam selalu tercurah kepada Mudammad SAW, kepada keluarganya dan kepada semua sahabatnya.

Ya Allah…
Hari ini ( tanggal 22 September 2009 ) dua hamba-Mu yang dhaif mematri janji dalam Mitsaqan Ghaliza di hadapan kebesaran-Mu. Kami tahu tidak mudah untuk memelihara ikatan suci ini dalam naungan ridha dan maghfirah-Mu. Kami tahu, amat berat bagi kami untuk mengayuh perahu rumah tangga kami menghadapi taufan godaan di hadapan kami. Karena itulah, kami datang memohon rahman dan rahim-Mu.

Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang lebih Engkau anugerahi kenikmatan, bukan-nya jalan orang-orang yang Engkau timpai kemurkaan, bukan pula jalan orang-orang yang Engkau tenggelam dalam kesesatan. Sinarilah hati kami dengan cahaya petunjuk-Mu.

Terangilah jalan kami dengan sinar taufik-Mu. Kalau Engkau berkenan menganugerahkan nikmat-Mu atas kami, bantulah kami untuk banyak berdzikir dan bersyukur atas nikmat-Mu itu. Hindari kami dari orang-orang yang terlena dalam kemewahan dunia. Lembutkan hati kami untuk merasakan curahan rahmat-Mu.

Ya Allah…
Indahkanlah rumah kami dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci. Suburkanlah kami dengan keturunan yang membesarkan asma-Mu. Penuhi kami dengan amal shaleh yang Engkau ridhai. Jadikan mereka Yaa…Allah teladan yang baik bagi manusia.

Ya Allah…
Damaikanlah pertengkaran di antara kami, pertautkan hati kami, dan tunjukkan kepada kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkan kami dari kegelapan kepada cahaya. Jauhkan kami dari kejelekan yang tampak dan tersembunyi.

Ya Allah…
Berkatilah pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, suami/isteri kami, keturunan kami dan ampunilah kami.

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Amiin…

Monday, September 14, 2009

Riak jadikan amalan ibarat debu berterbangan



ADAKAH rahsia yang tersimpan di antara diri kita dengan Allah Taala? Menyembunyikan amal kebaikan dari pengetahuan orang lain. Sungguh berat untuk dilakukan kerana lumrahnya manusia memang suka kepada puji-pujian. Berbeza jika seseorang itu melakukan kejahatan, dia akan bersusah-payah menyembunyikan kejahatannya itu daripada pandangan manusia.


Bersyukurlah kerana Allah SWT menghijab segala aib kita daripada mata manusia. Apakah rahsia yang anda sembunyikan itu? Jika ia suatu kejahatan, maka banyakkanlah istighfar, kalau rahsia itu adalah amal ibadat yang ikhlas, maka bersyukurlah kerana Allah SWT menunjukkan diri anda.


Al-Shaikh Muhammad Salih Al-Munajjid menukilkan dalam kitabnya Silsilah A’mal al-Qulub: "Imam al-Mawardi menghasilkan penulisan yang banyak dalam bidang tafsir al-Quran, fiqah dan cabang ilmu lainnya. Namun tiada satu pun karyanya yang diterbitkan semasa hidupnya, melainkan ketika saat akhir hayatnya. Beliau berkata kepada sahabatnya "Semua buku itu adalah hasil karyaku, aku berwasiat kepadamu jika aku sedang menghadapi nazak, letakkanlah telapak tanganmu pada telapak tanganku. Jika aku menggenggamnya ketahuilah bahawa tidak ada satu pun daripada hasil tulisanku itu diterima oleh Allah Taala. Bawalah buku-buku itu ke sungai Tigris dan campakkanlah ia semua ke dalamnya. Sebaliknya, jika aku membuka tanganku, maka ketahuilah bahawa semuanya diterima Allah Taala sebagaimana yang kudambakan dari-Nya." Ternyata Imam al-Mawardi membuka tangannya dan sesuai dengan wasiatnya buku beliau telah diterbitkan.


Cukuplah hanya Allah SWT yang tahu segala amal baik yang dilakukan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh menghebahkan amal berkenaan. Ia tidak salah jika diniatkan untuk memberi teladan kepada orang lain dan supaya syiar Islam dapat dijadikan contoh manusia seluruhnya. Tetapi bagaimana dengan risiko sifat riak yang merosakkan amal?


Jika kita tidak mahu terjebak oleh penyakit berbahaya ini, sebaiknya kembalilah mengulang kaji pelajaran ikhlas yang pernah membuat Saidina Abu Hurairah RA amat tertekan ketika menyebut tentang hadis Rasulullah SAW berikut ini. Dikatakan bahawa beliau kerap menangis kerana takut ketika membacakannya.


Sabda Rasululllah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang pertama kali diputuskan hukumannya pada hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang mati syahid, dia akan dihadapkan kepada Allah SWT, kemudian Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu di dunia dulu, maka dia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah Taala bertanya "Apa yang engkau lakukan dengan nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu? Ia menjawab "Nikmat itu saya pergunakan untuk berperang kerana membela agamaMu sehingga aku mati syahid. Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau telah berperang dengan tujuan supaya disebut sebagai orang yang berani (pahlawan) dan perkara itu telahpun diperkatakan orang sebegitu ke atas mu." Kemudian dia diheret di atas mukanya dan dicampakkan ke dalam neraka.



Kemudian dihadapkan pula seorang yang alim, dia mengajar ramai manusia dan banyak membaca al-Quran. Allah SWT bertanya "Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-ku itu? Ia berkata "Aku belajar ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain dan banyak membaca al-Quran demi keredaan-Mu. Allah berfirman "Engkau dusta! Sebenarnya engkau belajar dan mengajarkan ilmu supaya disebut sebagai orang alim, dan engkau membaca Al-Quran supaya mendapat gelaran Qari’ dan semua itu telahpun disebut orang sebegitu kepadamu." Orang itu kemudian diheret dan dihumban ke dalam neraka.


Kemudian dihadapkan pula orang yang dermawan yang diluaskan rezekinya oleh Allah Taala dengan pelbagai macam harta benda. Kemudian Allah bertanya "Apa yang engkau telah lakukan ke atas nikmatKu? Ia menjawab "Tiada satu jalan pun yang Engkau suruh supaya diberikan derma kepadanya kecuali saya telah dermakan harta saya di sana . Allah SWT berfirman "Engkau dusta! Engkau menderma supaya disebut sebagai orang yang dermawan dan ia telahpun disebut orang begitu kepadamu. Kemudian ia diheret ke neraka." Hadis riwayat Imam Muslim

Bolehkah kita terhindar daripada niat yang lain selain untuk Allah SWT? Betapa ruginya jika amal itu bagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala yang bermaksud "Dan kami tunjukkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (Surah Al-Furqan: Ayat 23).

Hasutan syaitan ke atas orang yang beramal tidak akan berhenti. Adakalanya kita berasa malas melakukan ibadat kerana ada bisikan yang mengatakan "Untuk apa beramal jika hati tidak ikhlas, tentu tidak diterima oleh Allah."

Saturday, September 12, 2009

Panduan iktikaf dalam masjid

sumber: http://epondok. wordpress. com/

Pengertian beriktikaf

Iktikaf ialah usaha mendiami dan menetap diri di dalam masjid dari seseorang yang tertentu dengan cara-cara tertentu. Dinamakan juga “Jiwar” (Al-Majmu’ An-Nawawi 6/407), dan merupakan suatu Halwah Syar’iyyah. (Kitab Mukhtasar Baghiah Al-Insan min wazaifi Ramadhan libni Rajab m/s 30)

Asas disyariatkan Iktikaf.

Asas disyarakkan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan ialah :

1.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ.

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A (Isteri Rasulullah SAW) bahawa Nabi SAW selalu beriktikaf pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan hingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (Muttafaq ‘Alaih (Al-Bukhari 2026, Muslim / 1772).

2.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قال : كَاْنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَعْتَكِفُ فِيْ كُلِّ رَمَضَانٍ عَشْرَةَ أَيَّامِ . فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِيْ قُبِضَ فِيْهِ اعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْمًا.

Maksudnya : Daripada Abi Hurairah R.A, ia berkata : Adalah Nabi SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadhan sepuluh hari (akhirnya). Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf dua puluh hari. (Sohih Al-Bukhari 2024)

Dengan itu, nyatalah bahawa iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat yang diamalkan secara berkekalan oleh Nabi SAW dan para isterinya, juga oleh para sahabatnya R.A.

Hukum Iktikaf

Telah Ittifaq (bersepakat) di antara imam-imam mazhab yang empat dan semua orang Islam, bahawa hukum iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat Muakkadah, kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW. dan menuntuti Lailatul Qadar. (Syarah Sohih Muslim li An-Nawawi 8/67 , Fathul Bari li Ibni Hajar As-Asqolani 4/272).

Dan tidak khilaf bahawa tidak wajib iktikaf kecuali apabila bernazar dengannya.

Manakala hukum iktikaf pada lain daripada sepuluh akhir Ramadhan dan lain daripada iktikaf nazar yang wajib, maka ia adalah sunat (Istihbab) sahaja. Oleh itu sayugialah bagi tiap-tiap orang yang duduk di dalam Masjid kerana menunggu solat atau kerana lain-lain hal, sama ada hal dunia mahu pun akhirat, bahawa ia niat iktikaf padanya, walaupun ia tidak berpuasa, kerana itu dikira pahala dengannya selama mana ia tidak keluar daripadanya. Dan apabila ia masuk semula ke dalam masjid selepas daripada keluarnya, maka hendaklah ia memperbaharui niatnya. (Syarah Sohih Muslim 8/67)

Kelebihan iktikaf

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : … وَمَنْ اعْتَكَفَ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ جَعَلَ اللهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ ثَلاَثَ خَنَادِقَ . كُلُّ خَنْدَقِ أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ الْخَافِقَيْنِ.

Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas R.A daripada Nabi SAW ia bersabda : … Dan barangsiapa yang beriktikaf satu hari kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka (berjauhan) tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin. (Dikeluarkan oleh At-Tabrani dan Al-Hakim, ia berkata : Sohih Al-Isnad (At-targhib wa At-tarhib 2/149 – 150),

Hikmah / tujuan iktikaf

Di antara hikmah dan tujuan iktikaf ialah :

1. Meluangkan diri daripada kesibukan dunia dan anak isteri, demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan sebagai bekalan jentera dalam melancarkan kegiatan hidup secara lebih baik. (Syarah Sohih Muslim 8/69, Bada’i As-Sona’i li Al-Kasani 1/107)

2. Kalaulah Ramadhan merupakan sebulan ujian yang penuh dengan rahmat bagi masa setahun, maka iktikaf pada sepuluh hari akhir Ramadhan adalah beberapa hari yang merupakan ujian khas yang lebih tinggi kepada orang-orang yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan secara umumnya, untuk mendapatkan kejayaan khusus yang lebih cemerlang.

3. Berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar menurut sunnah Rasulullah SAW.

Rukun iktikaf

Rukun iktikaf ada empat perkara :

  1. Berdiam diri di dalam masjid, sekurang-kurangnya sekadar tamakninah di dalam rukuk, dan tidak keluar darinya kecuali ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak.

  1. Niat pada permulaan iktikaf atau pada pembaharuannya semula, seperti : “Sengaja aku iktikaf sepuluh akhir Ramadhan kerana Allah”.

  1. Orang yang beriktikaf, syaratnya ialah : Islam, berakal, bersih dari haid, nifas dan junub, serta mendapat keizinan suaminya (sekiranya ia adalah seorang isteri) dan tidak (bagi perempuan) di dalam ‘idah. (Al-Umm li As-Syafi’e 1/108, As-Sunan Al-Kubra li Al-Baihaqi 4/323)

  1. Tempat iktikaf, iaitu masjid.

Kenyataan iktikaf dalam masyarakat Islam

Adalah amat sedikit bilangan umat Islam yang beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan berbanding dengan jumlah mereka yang ada di dunia ini. Itulah makanya sejak zaman dahulu lagi Ibnu Syihab Az-Zuhri pernah berkata :

عَجَبًا لِلْمُسْلِمِيْنَ تَرَكُوْا الإِعْتِكَافَ وَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَتْرُكْهُ مُنْذُ دَخَلَ الْمَدِيْنَةَ حَتَى قَبَضَهُ اللهُ .

Maksudnya : Hairan sekali keadaan orang-orang Islam ! Mereka sanggup tidak beriktikaf (sepuluh akhir Ramadhan) sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkan iktikaf sejak baginda datang ke Madinah Al-Munawwarah hingga Allah mewafatkannya. (Fathul Bari 285/4 , Bada’i As-Sona’i 1/108)

Memang tidak sayugia orang meninggalkan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … terutama bagi pendakwah-pendakwah dan pejuang-pejuang yang tidak berada di medan perang, juga orang-orang yang mengaku cinta kepada sunnah Rasulullah SAW !

Masjid yang diktikaf padanya

Yang paling baik ialah Masjidilharam di Mekah Al-Mukarramah, Al-Masjil An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, Al-Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid-masjid jami’ umumnya secara tertib, menurut besar dan ramai ahlinya. (Al-Umm li As-Syafi’e 1/107)

- Sah iktikaf di dalam semua masjid. (Syarah Sohih Muslim 8/68)

- Sah iktikaf di dalam masjid di atas sutuhnya atau menara yang berhubung dengannya atau rahabahnya (serambinya) atau di kawasan mana sahaja yang dinamakan masjid. (al-Majmu’ 6/436-437)

- Disunatkan seseorang perempuan yang beriktikaf di dalam masjid mengadakan tabir yang dapat melindungi dirinya dari penglihatan, tetapi tidaklah sampai menyempitkan ke atas orang yang bersolat. (Fathul Bari 4/277, Al-Mughni Li Qudamah 3/191)

- Sah iktikaf perempuan di dalam masjid di rumahnya, iaitu di mana-mana satu ruangan dari rumahnya yang disediakan khusus untuk solatnya di sisi Imam Abu Hanifah dan pendapat lama bagi Imam As-Syafi’e.(Syarah Sohih Muslim 8/68, Fathul Bari 4/275 dan Raudhah At-Tolibin 2/398)

- Harus bagi perempuan beriktikaf di dalam masjid bersama-sama dengan suaminya di sisi Al-Hanafiah dan Ahmad. (Bada’i As-Sona’i 2/113, Aujaz Al-Masalik li Kandahlawi 5/204)

- Makruh bagi perempuan beriktikaf di masjid umum yang didirikan solat jemaah di sisi Imam As-Syafie. (Fathul Bari 4/275)

- Suami berhak menahan isteri daripada beriktikaf dan mengeluarkannya daripadanya. (Al-Umm 2/108, Syarah Sohih Muslim 8/70)

Cara beriktikaf sepuluh akhir Ramadhan

1. Dimulai masuk masjid sebelum jatuh matahari bagi petang hari kedua puluh Ramadhan dengan niat iktikaf sepuluh akhir Ramadhan dan keluar daripadanya pada pagi Aidilfitri atau selepas jatuh matahari pada malamnya.

2. Harus bagi orang yang beriktikaf membawa hamparan khas untuknya masuk ke dalam masjid bersamanya dan harus pula mengambil mana-mana satu ruangan dari masjid sebagai tempat khas baginya, sekiranya tidak menyempitkan orang yang bersolat di dalam masjid.

3. Mengadakan solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat, kemudian menetap diri di dalamnya dan tidak keluar daripadanya kecuali ada sebab-sebab yang diharuskan.

4. Harus menjalankan ibadat iktikaf sunat secara tidak penuh atau tidak muwalah seperti iktikaf hanya sehari atau dua hari, nisbah kepada iktikaf di dalam masa sepuluh akhir Ramadhan, atau selang sehari atau hanya waktu malam dan sebagainya. (Fathul Bari 4/283, Raudhah At-Tolibin li An-Nawawi 2/393)

Sebab-sebab diharuskan keluar.

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَاْنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا اعْتَكَفَ يُدْنِيْ إِلَيَّ رَأْسَهُ فَأَرَجُلُهُ وَكَانَ لاَ يَدْخُلُ الْبَيْتَ إِلاَّ لِحَاجَةِ اْلإِنْسَانِ.

Maksudnya : Daripada Aisyah R.A, ia berkata : Adalah Nabi SAW apabila baginda beriktikaf, baginda menghulurkan / mendekatkan kepalanya kepadaku, maka aku pun menyikatkan rambutnya. Dan baginda tidak masuk ke dalam rumah, kecuali kerana hajat manusia. (Muttafaq ‘Alaih wa Lafz li Muslim 1/244)

Berkata Ibnu Hajar Al-’Asqolani, Maksud :”Hajat Al-insan”. Di sini ialah telah ditafsirkan oleh Az-Zuhri dengan : Buang air kecil dan buang air besar, di mana telah ittifaq oleh semua ulama’ bahawa dikecualikan pada kedua-duanya dan bersalahan pendapat di antara mereka pada yang lain daripada kedua-duanya seperti makan minum. (Fathul Bari 4/273)

Tegas Imam An-Nawawi : Berkata sahabat-sahabat kami : Harus bagi muktakif keluar masjid kerana mandi junub yang hasil dari mimpi dengan tidak khilaf. (Al-Majmu’ 6/430, Raudhah At-Tolibin 2/405)

Walau bagaimanapun , saya dapat rumuskan bahawa sebab-sebab atau keuzuran yang diharuskan bagi muktakif (orang yang beriktikaf) keluar dari masjid-masjid iktikafnya, secara tidak dianggap putus muwalah iktikafnya dan tidak berhajat kepada pembaharuan semula niatnya apabila ia masuk, setelah hilang sebab dan keuzurannya ialah :

1. Qadha hajat :

Iaitu buang air besar dan buang air kecil. Dan tidak mengapa sekiranya ia berwudhu’ di luar masjid, setelah selesai qadha hajat. Juga harus qadha hajat di dalam bilik air di rumah sendiri, walaupun jauh rumahnya dan sekalipun telah sedia ada bilik air di masjid atau di rumah kawan-kawan yang lebih dekat dengan masjid. Dan tidaklah disyaratkan bersangatan kuat rasa hendak qadha hajat bagi mengharuskan seseorang muktakif itu keluar menunaikan qadha’ hajatnya. (Raudhah At-Tolibin 2/405-406)

2. Mandi junub :

Iaitu mandi junub kerana mimpi dan sebagainya.

3. Berwudhu’ :

Kerana hendak berwudhu’ yang wajib, bukan tajdid, itu pun sekiranya tidak dapat berwudhu’ di dalam masjid. (Raudhah At-Tolibin 2/407, Al-Mughni li Ibni Qudamah 3/206)

4. Menyucikan najis :

Kerana menyucikan najis-najis pada badannya atau pakaiannya.

5. Sakit bahaya :

Kerana sakit berat yang boleh mengotorkan masjid. (Raudhah At-Tolibin 2/408)

6. Keluar darah haid :

Adapun keluar darah istihadhoh , maka kebanyakkan ulamak mengharuskan ia iktikaf di dalam masjid sekiranya tidak membawa kepada kekotoran masjid. (Aun Al-Ma’bud syarah Sunan Abi Daud 7/153)

7. Takut bahaya :

Kerana takut bahaya daripada mana-mana pihak. (Al-Umm 2/106, Raudhah At-Tolibin 2/408)

8. Darurat / kecemasan :

Kerana darurat untuk melepaskan diri atau orang lain dari apa-apa kecemasan dan bahaya atau sebagainya.

9. Dipaksa :

Kerana dipaksa oleh mana-mana sebab atau pihak secara kekerasan. (Al-Umm 2/105-106)

10. Makan / Minum :

Kerana hendak makan, sekalipun boleh makan di dalam masjid di sisi mazhab As-Syafie (Al-Umm 2/105-106) , begitu juga kerana hendak minum, sekiranya ia dahaga dan tidak ada air di dalam masjid. Ada pun sekiranya air telah sedia ada di dalam masjid, maka yang lebih sohih ialah ia tidak harus keluar daripadanya. (Al-Majmu’ 6/432-434 dan Raudhoh At-Tolibin 2/405-407)

Adapun di sisi mazhab Al-Maliki, maka tidak diharuskan makan dan minum di luar masjid tetapi diharuskan keluar untuk membeli makanan / minuman jika tidak ada pihak yang menyediakan makanan untuknya. (Mawahib Al-Jalil li Al-Hatob Al-Maliki dan At-Taj wa Al-Iklil li Al-Mawaq Al-Maliki 2/461)

Peringatan / Tambahan :

1. Pembaharuan niat :

Kesemua sebab-sebab atau keuzuran tersebut, apabila telah hilang atau selesai daripadanya, maka hendaklah ia segera kembali masuk semula beriktikaf dengan tidak payah memperbaharui niatnya. Kalau tidak, dikira batal iktikafnya (yakni muwalahnya) dan ia mesti memperbaharui semula niatnya.

2. Acap kali :

Tidak mengapa kalau seseorang muktakif itu acap kali keluar dari masjid tempat iktikafnya, sekiranya acap kali berlaku sebab-sebabnya, seperti senak perut dan sebagainya. (Al-Majmu’ li An-Nawawi 6/432-434, Raudhoh At-Tolibin 2/406)

3. Keluar semua badan :

Tidak diiktibarkan seseorang itu keluar dari masjid kecuali semua tubuh badannya dari masjid, bukan sekadar keluar satu juz daripada tubuh badannya. Kecuali apabila ia keluar dengan dua kakinya dan ia berdiri di atas kedua-duanya, maka diiktibarkan ia keluar, walau pun sebahagian daripada badannya seperti kepala atau tangannya masih berada di dalam masjid. (Raudhoh At-Tolibin 2/404)

4. Keluar dengan lupa :

Tidak dianggap batal iktikaf seseorang yang keluar dari masjid tempat iktikafnya dengan sebab lupa atau tidak sengaja. (Raudhoh At-Tolibin 2/398)

5. Mimpi keluar air mani :

Tidak diiktibarkan batal iktikaf seseorang yang bermimpi sampai keluar mani, tetapi hendaklah segera keluar untuk mandi junub.

6. Tidak mesti tergesa- gesa (terburu-buru) :

Apabila seseorang muktakif itu keluar dari masjid kerana apa-apa sebab dan hajat yang diharuskan, maka tidak disyaratkan ia bersegera … cukuplah dalam kadar biasa ia menjalankan hajat atau kerja hingga dapat menyelesaikannya, tetapi tidaklah sampai terlalu lewat. (Raudhoh At-Tolibin 2/406, Al-Majmu’ 6/429)

7. Hukum sewaktu di luar masjid.

Bersalahan pendapat ulama’ mengenai hukum seseorang yang beriktikaf, sewaktu ia berada di luar masjid kerana sebab-sebab yang diharuskan itu, apakah ia dikira sebagai orang yang beriktikaf atau tidak !.

8. Ziarah orang sakit dan menyaksi jenazah :

Harus bagi orang yang beriktikaf keluar untuk menziarahi orang-orang sakit atau mengebumikan mayat… sekiranya tidak ada orang lain yang mengurusnya. Tetapi apabila ia masuk semula beriktikaf lebih baik ia memperbaharui niatnya, kerana ada khilaf ulama’ mengenai batal (muwalah) iktikafnya. Adapun menziarahi orang sakit sambil melalui jalan kepada satu-satu hajat yang diharuskan tanpa berhenti, maka tidaklah memutuskan muwalah iktikafnya. Rasulullah SAW pernah lalu di tepi orang sakit walhal ia sedang dalam iktikafnya . Baginda hanya bertanya halnya sambil berjalan tanpa berpaling dan berhenti. (Dikeluarkan oleh Abu Daud raqm 2455)

Diriwayatkan daripada Ali RA, ia berkata : Orang yang beriktikaf (boleh) menziarahi yang sakit, menyaksi jenazah, menghadiri Jumaat dan menjumpai ahlinya, tetapi tidak duduk dengan mereka. (Al-Musonif li Ibni Abi Syaibah 8/631, dan Kanz Al-’Umal li Burhan Fauzi 3/87)

9. Solat Jumaat.

Ahli Jumaat yang beriktikaf di masjid yang bukan masjid jamek, hendaklah ia keluar dari tempat iktikafnya untuk pergi menunaikan fardu Jumaat di mana-mana masjid jamek dan batallah muwalah iktikafnya di sisi Al-jumhur. Setelah selesai solat Jumaat hendaklah ia kembali semula ke tempat iktikaf dengan memperbaharui niatnya semula. (Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ At-Tirmizi 3/518-520, Al-Majmu’ 6/442)

Berkata Abu Hanifah dan sahabatnya : Tidak sayugia bagi seseorang muktakif itu keluar daripada masjid kerana satu-satu hajat, kecuali untuk Jumaat, buang air besar dan buang air kecil. Dan sayugia ia keluar kepada solat Jumaat, ketika diazan solat atau sebelumnya sedikit, iaitu sekira-kira selama ia di dalam masjid Jumaat ia sempat solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. (Bada’i A-Sona’i 1/114, Aun Al-Ma’bud 7/140)

Begitu juga pendapat Imam Ahmad, iaitu harus bagi seseorang yang beriktikaf di masjid yang tidak diadakan Jumaat padanya, keluar kerana bersolat Jumaat, dengan tidak dikira batal (muwalah) iktikaf kerana keluarnya adalah untuk sebab yang wajib dan yang tak dapat tidak baginya. (Al-Mughni 3/192)

Berkata Al-Thauriey, As-Syafi’e dan Ishak : Jikalau sekiranya seorang yang beriktikaf itu telah bersyarat mulai iktikaf bahawa ia akan keluar solat Jumaat atau ziarah orang sakit atau mengiringi jenazah, maka tidaklah batal iktikafnya dengan berbuat demikian. Ini adalah satu riwayat daripada Imam Ahmad (Fathul Bari 4/273), terutama sekiranya iktikaf itu sunat (Aunul Ma’bud 7/140).

Adapun di sisi mazhab Al-Maliki, maka dianggapkan batal juga muwalah iktikaf dengan sebab keluar solat Jumaat, tetapi diharuskan keluar kerana mandi dan membersihkan badan untuk Jumaat. Bahkan diharuskan juga keluar untuk mandi semata-mata kerana tujuan menyejukkan tubuh badan. (Mawahibul Jalil dan At-taj wal Iklil 2/462-463)

10. Kewajipan yang lebih afdhal dari beriktikaf (sunat) :

Sayugia bagi orang yang beriktikaf sunat bahawa ia keluar dari masjid iktikafnya kerana menjalankan satu-satu kewajipan yang lebih tinggi darjatnya dari iktikaf di sisi syarat … walaupun perkara itu adalah membatalkan (muwalah) iktikafnya. Kemudian hendaklah ia segera masuk semula dengan memperbaharui niat iktikafnya.

Suami Isteri semasa Iktikaf

1) Harus bagi isteri orang yang beriktikaf (muktakif) :-

a. Ziarah suaminya yang sedang beriktikaf di masjid dan bercakap dengannya, kerana Sofiyyah bt. Hayy R.A pernah menziarahi suaminya Rasulullah SAW dan bercakap-cakap dengannya sewaktu baginda sedang beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan. (Sohih Al-Bukhari 24/257)

b. Berkhalwat dengannya dan berseronok (tamatta’) dengannya secara tidak bersyahwat, sama ada di dalam masjid atau di luarnya di sisi Al-Jumhur. (Fathul Bari 4/280, Raudah Al-Talibin 2/392)

c. Menolong suaminya, seperti menyikat rambutnya dan sebagainya, walaupun isterinya itu berada di dalam keadaan haid yang terpaksa dihulur keluar kepala suaminya dari masjid, kerana Aisyah RA pernah menyikat rambut Rasulullah SAW sewaktu baginda sedang iktikaf di dalam masjid. (Sohih Ibn Khuzaimah 3/348-349)

2) Perkara yang dilarang lakukan dengan isteri.

a. Berjimak dengannya, sama ada di dalam masjid atau sewaktu keluar darinya, sama ada di waktu malam atau siang. Apabila mana-mana orang yang beriktikaf itu berjimak dengan isterinya dalam keadaan ia sedar bahawa ia di dalam iktikaf walaupun di luar masjid serta tahu bahawa jimak itu dilarang ka atasnya, maka batallah iktikafnya dan hendaklah ia segera mandi junub dan masuk beriktikaf dengan memperbaharui semula niatnya. Kecuali jika sekiranya masa ia berjimak di luar masjid itu terlalu sedikit, kadarnya semasa ia keluar kerana qadha’ hajat … maka khilaf di antara ulama’ mengenai batal iktikafnya atau tidak. Adapun jika jimak dalam keadaan lupa bahawa ia sedang beriktikaf maka batal juga di sisi Jumhur ulama’ kecuali As-Syafie. (Al-Majmu’ 6/433 457 dan Mughni Al-Muhtaj 1/452)

b. Adapun berseronok dengan isterinya secara bersyahwat pada yang lain daripada faraj, maka tidak membatalkan iktikafnya selama tidak keluar air mani di sisi Al-Jumhur. Begitu juga jika ia berusaha mengeluarkan air mani dengan tangan dan sebagainya. (Raudhoh At-Tolibin 2/392, Fathul Bari 4/272)

Perkara yang harus dilakukan.

Harus bagi orang yang beriktikaf melakukan yang berikut :-

1. Berpakaian biasa.

2. Makan / minum di dalam masjid, tetapi disunatkan menggunakan alat-alat seperti hamparan bagi menjaga kebersihan masjid.

3. Memakai bau-bauan.

4. Bekerja dengan pekerjaan yang sedikit.

5. Menyambut tetamu, bercakap dengannya dan menghantarkannya pulang.

6. Sedikit berjual beli pada perkara-perkara yang sangat berhajat.

7. Bercakap biasa.

8. Berkahwin dengan mengahwinkan.

9. Bercukur, menyikat rambut dan mengerat kuku.

10. Belajar dan mengajar. (Al-Umm 2/105, Bada’i Al-Sona’i 2/116)

Perkara yang tidak harus dilakukan

Tidak harus bagi orang yang beriktikaf melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti berjual-jual kosong dan apa-apa kerja yang sia-sia, apalagi yang makruh dan yang haram … begitu juga melakukan usaha kehidupan seperti bertukang dan sebagainya. (Al-Majmu’ 6/460, Aun Al-Ma’bud 7/142)

Berkata Ali RA : Mana-mana lelaki yang beriktikaf, maka hendaklah ia tidak memaki orang dan tidak bercakap kotor. ( Al-Mughni 3/203).

Amalan-amalan semasa iktikaf.

Sebenarnya tidak ada bagi iktikaf itu satu-satu amalan dan bacaan yang tertentu yang tsabit dari Rasulullah SAW selain daripada kesungguhan baginda dalam beriktikaf dan beribadat pada sepuluh akhir Ramadhan lebih daripada masa-masa yang lain.

1.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَجْتَهِدُ فِيْ الْعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مَالاَ يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهَا.

Maksudnya : Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (di segi beribadat) pada masa sepuluh akhir Ramadhan lebih banyak daripada (ibadatnya) pada masa-masa lain. (Sohih Muslim raqm 1175 2/832)

2.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ.

Maksudnya : Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan, bersungguh-sungguhl ah baginda pada mengerjakan ibadat (dengan meninggalkan tidur dengan isterinya), baginda menghidupkan malamnya dan menggerakkan isteri-isterinya, (supaya bangkit beribadat bersama-samanya) . (Muttafaq ‘Alaih : Sohih Al-Bukhari 2/255, Muslim 2/832)

Berkata An-Nu’man b. Basyir : Kami dapat adakan Qiamullail bersama-sama Rasulullah SAW pada malam yang kedua puluh lima hingga kepada setengah malam dan pada malam yang kedua puluh tujuh hingga kepada masa yang kami sangka kami tak sempat lagi hendak bersahur, kerana terlalu lewatnya. (Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah raqm 2204, sanadnya hasan).

Berkata As-Syafie dan sahabat-sahabatnya : Adalah sangat baik bagi orang yang beriktikaf bahawa ia memenuhi masanya dengan amalan-amalan taat seperti : solat, tasbih, zikir, membaca/tilawah Al-Quran dan belajar serta mengajar, juga mentalaah kitab-kitab dan menulisnya. (Al-Majmu’ 6/458).

Tetapi setengah ulama’ berpendapat bahawa dikehendaki supaya setiap orang yang beriktikaf itu hanya menumpukan masanya dengan amalan asasi bagi iktikaf sahaja, iaitu zikir, solat, tilawah Al-Quran dan doa. ( Mawahibul Jalil dan Al-Taj Wal Iklil 2/461, Muktasar Baghiah Al-Insan min Wazaifi Ramadhan Libni Rajab, M/s 30).

Seruan dan Khatam

Kalaulah madrasah Qiamullail merupakan sebuah madrasah umum bagi tarbiah rohiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW berdasarkan perintah Allah SWT :

قم الليل إلا قليلا (2 Surah Al-Muzammil)

Maka “Iktikaf sepuluh akhir Ramadhan” adalah merupakan “Ibadat khusus yang membawa kepada kemuncak darjat Qiamullail”, kerana ia dibantu oleh Shiam (puasa) Ramadhan pada siang hari dan tartil Al-Quran di malam-malam hari bulan nuzulnya Al-Quran.

Kalaulah “Qiamullail” merupakan amalan umum pada setiap malam di sepanjang tahun … maka amalan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan merupakan “Amalan / ujian khas” secara lebih hebat dan lebih gigih bagi menaikkan darjat kehidupan Muslim / Muslimat di setiap akhir tahun … Ujian yang mengandungi padanya berbagai-bagai ibadat asas seperti : solat, shiam, zakat, qiamullail, tadarus Al-Quran dan tartil Al-Quran, berbagai-bagai zikir, doa, istighfar, taubat, mujahadah dan muhasabah diri serta mentazkiahkannya…

Itulah barangkali di antara hikmah makanya disyarakkan Qiamullail secara umumnya di awal-awal kedatangan Al-Islam iaitu sewaktu baginda berada di Mekah Al-Mukarramah, manakala ibadat iktikaf yang merupakan kemuncak itu adalah disyarakkan sewaktu baginda berada di Madinah Al-Munawwarah.

MasyaAllah !!! Alangkah jauhnya perbezaan di antara orang yang masuk ujian di akhir tahun secara penuh ikhlas dan ittiba’ (Iktikaf) dengan orang yang tidak masuk ujian….

MasyaAllah !!! Qudwah hasanah Rasulullah SAW amatlah dirasai, tepat dan sesuai dalam menyahut tuntutan fitrah bagi kehidupan manusia yang sangat perlu kepada ketenangan di celah-celah kesibukan kerja demi mengangkat mutu hati, menjernihkan jiwa … atau sekurang-kurangnya memperbaiki jentera hati yang merupakan asas kekuatan kepada daya gerak dalam menuju kemajuan hidup dunia dan akhirat…

MasyaAllah !!! Di manakah kita, wahai ikhwan dan akhawat dengan peraturan Al-Islam yang cukup sempurna ini ? Di manakah kita dengan Qudwah hasanah dari sunnah Rasulullah SAW ini ? Di manakah kita dengan tuntutan fitrah kita yang cukup bersih dan benar ini ?

Ayuh … marilah kita sama-sama membawa diri kita dan keluarga kita untuk mengurung diri beriktikaf dalam sebaik-baik tempat di bumi Allah ini, iaitu masjid, dan di waktu yang sebaik-baik, iaitu sepuluh akhir Ramadhan … kerana menyahuti dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW Qauliyyah dan Fe’liyyahnya serta sohih lagi sorih ….

Subhannallah !!! Hairan sekali kepada umat Islam yang telah mendapat kurniaan rezeki Allah SWT secara melimpah ruah… kesihatan badan yang segar bugar, waktu yang cukup lapang dan keadaan yang cukup mengizinkan. Tetapi, pada waktu yang sama, mereka tidak juga beriktikaf !!!. Sedangkan Rasulullah SAW telah menyeru, mengajak dan menekan untuk beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … bahkan dalam kesibukan kerja yang penuh Baginda tetap beramal dengan amalan yang tidak hanya menjadi Qudwah sekadar sekali gus … tetapi berkekalan sehingga diwafat oleh Allah…

Segala dakwaan kesibukan dalam bidangnya adalah tertolak secara cukup malu dan kecil diri di hadapan kesibukan yang berlipat kali ganda yang dihadapi oleh Nabi SAW, baik di peringkat peribadi mahu pun masyarakat dan negara … juga oleh para sahabatnya Radiallahu ‘Anhum !!!.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan nescaya kita dikurniakan Lailatul Qadar dan kelebihannya yang banyak, Aaminn.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ ، عَلَى اللهِ تَوَكَّلْنَا ، رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِلْقَوْمِ الظَّالِمِيْنَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ . رَبَّنَا اغْفِرْلِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابُ . رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْمُ …

وَصَلَّى اللهُ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم ، سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ

Wednesday, September 9, 2009

Adab-adab sepanjang Ramadhan




1. Tetapkan niat puasa kerana Allah taala, bukan atas sebab tertentu seperti hendak kurus, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

2. Lewatkan makan sahur.

3. Segerakan berbuka puasa apabila tiba waktunya.

4. Berbuka puasa dengan makanan manis terlebih dahulu.

5. Banyakkan bersedekah dan berdoa.

6. Tahan diri daripada melakukan perbuatan sia-sia seperti mengumpat, berbual kosong, membuang masa dan lain2.

7. Elakkan pembaziran. Lakukan sesuatu secara bersederhana.

8. Tidak merungut keletihan, lapar, dahaga kerana berpuasa.

9. Menghadiri majlis2 ilmu.

10. Banyakkan bertadarus Al-Quran.

11. Laksanakan kerja @ tugasan seperti biasa kerana puasa tidak menjejaskan produktivi.

12. Jangan biarkan bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja kerana kita pasti bertemu dengannya lagi pada tahun hadapan.

~ same2lah kita merebut peluang untuk beribadah di bulan Ramadhan yg penuh barokah..smg kita sentiasa beristiqomah dlm setiap perkara yg kita lakukan...n sentiasa mendapat redhaNya..insyaAllah~~

Monday, September 7, 2009

Renungan...kapur n pemadam



Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Guru itu duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Siguru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika. "

Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Faham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." Guru melanjutkan. "

Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berfikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet."Murid- murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang. Kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. .."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka. Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... "

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam. Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar".